Monday, January 5, 2015

MASJID 300 TAHUN

Bagi mereka yang sering ke negara jiran THAILAND pastinya banyak tempat-tempat menarik yang telah anda lawati. Antaranya, Phuket, Krabi, Hatyai dan beberapa tempat pelancongan yang menjadi kegilaan mereka yang ingin merehatkan minda.

Namun, tahukah anda bahawa jauh di pelusuk perkampungan di negara Thailand tersimpan 1001 khazanah Islam yang kita mungkin tidak sedari. Penjelajahan saya pada kali ini telah menyaksikan betapa hebatnya seni bina Islam suatu ketika dahulu iaitu, Masjid Teluk Manok lebih kurang 90KM dari bandar Sungai Kolok.

Masjid ini lebih dikenali sebagai Masjid 300 Tahun. Namun, penduduk tempatan menyatakan bahawa usia masjid ini telah berusia 390 tahun.

Masjid Teluk Manok @  Masjid 300 Tahun
Masjid Telok Manok yang juga dikenali sebagai Masjid Wadi al-Hussein ini berada di Bacho, Patani (dalam wilayah Narathiwat) telah dibina pada abad ke-15 lagi. Masjid ini telah dibangunkan oleh Syeikh Wan Hussein as-Senawi bin Sayyid Ali Nurul Alam. Beliau juga merupakan adik kepada Sultan Wan Abdullah Umdatuddin serta bapa saudara Sunan Gunung Jati dan Raden Fattah.

Syeikh Wan Hussein as-Senawi dilahirkan di Kampung Sena di Patani. Setelah Siam Ayuthia telah dihalau keluar dari Chermin-Langkasuka pada tahun 1467, beliau bersama adiknya Wan Demali (Wan Demali Alimuddin, Patih Kermawijaya Laksamana Bentan) telah ke Pulau Madura untuk berdakwah. Di Demak, Syeikh Wan Hussein telah dilantik oleh anak saudaranya, Raden Fattah, sebagai penasihat Sultan Demak. Disebabkan ketika itu Demak sentiasa mendapat sokongan padu daripada Wali Songo, Syeikh Wan Hussein berdakwah pula di Pulau Sumbawa sebelum pulang ke Patani.

Tiba di Patani, adik beradik beliau telah membuat pembahagian tugas serta kawasan untuk berdakwah. Wan Abdullah telah ke Champa, Wan Hussein sendiri ditugaskan di Telok Manok di Patani, Wan Demali ke Bentan di Sumatera, Wan Hassan di Bangkok dan Wan Senik di Kerisik, Patani.

Dianggarkan bahawa Syeikh Wan Hussein telah kembali ke Patani dalam lingkungan tahun 1470. Semasa berdakwah di Teluk Manok, beliau telah membangunkan Masjid Telok Manok sekitar  tahun 1470 dan 1480 Masehi. Kerja-kerja pembaikan telah banyak kali dilakukan untuk menjaga serta memperbesarkan masjid berkenaan.  Terdapat satu catatan dipintu masjid bertarikh 1266 Hijrah (1850 Masehi), menunjukkan tarikh penggantian atau baikpulih ada dibuat dalam tahun tersebut.

Ukiran di luar dan bagian dalam Masjid Telok Manok

Beberapa ukiran di masjid Telok Manok
 
Kenangan bersama kanak2 penduduk tempatan